WAKE UP CALL 34
IPK MELAKA, BUKIT BERUANG
“BERAPA
banyak musuh kau ni, sebenarnya? Kejap tayar kereta kena tembaklah, pejabat
kena geledahlah! Fahem… Fahem…” bebel DSP Ryan tatkala rakannya duduk di
hadapannya.
“Eh… banyak pula bebel kau. Apa
cerita kes pecah masuk pejabat aku? Dah boleh masuk ke belum pejabat tu?”soal
Fahem. Tidak sabar menunggu hasil siasatan polis. DSP Ryan meneliti sebuah fail
seketika. Kemudian, dia mengeluarkan sehelai kertas A4 lalu diletakkan di
hadapan Fahem.
“Pernah tengok tak?” soal DSP Ryan.
Fahem memerhati betul-betul gambar itu. Terbeliak biji matanya. Apa lagi
mahunya? Tidak mungkin mereka mencarinya kini? Apa salahnya kepada mereka?
“Memang aku pernah tengok.” Jawab
Fahem. DSP Ryan mengerutkan dahi. Dia tahu, ada lagi yang ingin dikatakan oleh
rakannya itu.
“Tapi…” DSP Ryan membiarkan ayatnya
disambung Fahem.
“Aku tak faham. Apa mereka nak dari
aku… sampai kat sini mereka cari aku. Salahkah kalau nak menuntut keadilan?”
bingung seketika kepalanya. DSP Ryan melepaskan nafas berat.
“Manusia tamak haloba, memang macam tu.
Celah mana pun kita pergi, mereka tetap akan cari walaupun kita tak salah
dengan mereka. Pada kita, kita memang tak salah. Tapi pada mereka…? Fikirlah
sendiri.” Kata-kata DSP Ryan mengingatkannya kepada Mazidah, setiausaha
sementaranya. Wanita itu pernah memberitahunya beberapa minggu lepas bahawa
seorang lelaki Inggeris telah mencarinya di pejabat. Apabila Mazidah mengatakan
dia cuti sakit, lelaki Inggeris itu meninggalkan sekeping kad untuk dihubungi.
Dia tidak terus menghubungi lelaki itu tetapi telah mengupah seorang penyiasat.
Hasilnya sangat menakjubkan!
Fahem mengeluarkan dompetnya dan
menarik kad lelaki Inggeris itu.
“Nah, aku rasa kau perlukan benda ni
sebagai bahan bukti.” DSP Ryan membuat muka pelik namun tangannya tetap
mengambil kad tersebut.
“Siapa ni?” dibaca sekali lagi
tulisan yang tertera pada kad tersebut.
Arthur McCohen. Managing Director of
Illionis Inc.
“Dia sebenarnya salah seorang dari…”
kata-katanya terhenti tatkala mendengar pintu bilik pejabat rakannya diketuk
dari luar. Arahan masuk diberi.
“Tuan, Tuan Razali minta tuan ke
bilk mesyuarat. Ada taklimat tergempar.” Seorang anggota polis berpangkat Lans
Koperal memberitahu. DSP Ryan mengangguk faham.
Fahem yang faham akan situasi
tersebut terus bangkit. “Oklah Ryan. Nanti kalau ada apa-apa perkembangan, kau
telefonlah aku.” Mereka berjabat tangan sebelum Fahem keluar dari pejabat
tersebut.
BANDA HILIR, MELAKA
BERKERUT-KERUT
dahinya menadah kemarahan pihak sebelah sana. Jika tidak memikirkan habuan
lumayan yang akan diterimanya, sudah lama dia menarik diri dari rancangan ini.
Arahan terus didengar dengan teliti.
“Kau ingat tak ni, apa yang aku
cakapkan?” herdik orang di dalam talian.
“Ya, Datuk. Saya faham. Saya akan
jalankan rancangan kita secepat mungkin.” Mark mengesat peluh yang mula
membasahi dahinya.
“Kalau dah faham, apalagi… cepatlah
jalankan! Aku nak hasilnya cepat! Cubalah jangan bagi darah aku naik!” Mark
ditengking lagi.
“Baik Datuk. Saya akan jalankan secepat mungkin.”
“
Jangan nak baik Datuk… baik Datuk! Orang atas dah bising dah. Selagi tak ada
hasil, jangan telefon aku!” dia sudah muak menerima desakan dari pihak
atasannya berkenaan hal ini. Maka, dia perlu menyelesaikannya dengan segera.
Tak
lama kemudian, talian diputuskan. Mark menoleh ke kiri, melihat wajah pelik
Fiona yang sedang merenungnya.
“Apa
pula masalah kali ni?” soalnya lagi sambil menyelak perlahan-lahan majalah
Wanita di tangannya.
“Apa
lagi, hal itulah. Pening betul kepala I. Dia ingat, senang agaknya nak buat
kerja tu!” tangannya mengeluarkan kotak rokok dari kocek seluar. Baru saja dia
ingin mengeluarkan sebatang, kotak rokoknya dirampas oleh Fiona.
“You
ni, asalkan stress aje, rokok! Tak
ada benda lain ke?” Fiona mencampakkan kotak rokok tadi ke atas meja. Mark
mengeluh.
“Habis,
nak hisap apa lagi? Takkan you nak suruh I hisap dadah pulak setiap kali stress?” entah apa-apa betul sifat
perempuan seorang ni. Mark benar-benar tidak faham! Fiona melepaskan nafas
berat.
“Terus terang I cakap. Bila I tengok
you hisap rokok, langsung tak macho!
Hilang watak ganas you!”
Itu pula yang dibacanya? Mark sudah
hilang sabar! “Habis pada mata you, siapa yang macho bila hisap rokok?” Fiona sudah tersenyum penuh makna.
Mark menjulingkan matanya ke atas
seketika.
“Sudahlah Fiona. Dia dah kahwin. Dah
nak timang anak dah. Tak payahlah nak teringatkan dia sangat. I yang ada depan
mata you ni, tak nak pula you layan! Tak nak pulak you teringat!”
Fiona menjeling. “Sebab you sentiasa depan
mata I lah, I tak teringat kat you. Hari-hari pandang, bosan juga kan?” Mark
menggeleng kepala. Apa-apa sajalah…
MEREKA masih leka
membelek-belek baju bayi sedangkan tanpa disedari, waktu telah menginjak ke
2.30 petang. Si suami langsung terlupa mereka masih belum makan tengah hari.
Makanan terakhir mereka adalah sarapan yang menghampiri jam sembilan pagi tadi.
“Abang, warna pink ni cantik sangat.” Ujar
Nur Sumayyah sambil menunjukkan sepasang baju bayi kepada suaminya.
Fahem mengangguk setuju namun
seketika kemudian dia menggeleng.
“Tak naklah warna tu. Kita tak tahu
apa jantina anak kita, sayang. Kalau keluar perempuan tak apa juga. Sekali
dapat anak lelaki, abang tak nak anak lelaki abang jadi ‘sotong kurita’.” Nur
Sumayyah menjeling apabila mendengar ayat laser suaminya.
“Apa abang cakap macam tu pulak?”
mulut… laser yang amat! Tak padan dengan mafia!
Fahem tergelak perlahan. “Abang
bukannya apa… cuma berjaga-jaga.”
Malas
mahu melayan suaminya, Nur Sumayyah bergerak ke bahagian pampers dan tisu basah. Dia mencapai beberapa bungkus tisu basah
dan lampin pakai buang bersaiz new born.
Tak lama kemudian, Fahem datang kepadanya sambil membawa bakul yang berisi
pakaian dan barangan bayi lain yang telah mereka pilih. Si suami menjeling seketika
jam tangan.
“Dah
2.45 petang. Jom, kita pergi makan. Nanti kesian anak kita lapar.” Ajak Fahem.
Nur Sumayyah mengangguk akur. Selepas membayar, mereka keluar mencari destinasi
untuk memenuhi perut masing-masing.
“DOUBLECHEESE
BURGER dua set.” Pesanan yang sama membuatkan dua insan saling berpandangan
seketika. Terasa dunia sepi, hanya mereka sahaja berada di situ. Lama mata
mereka bertautan, menikam hingga ke sanubari.
Ketukan
di meja kaunter mengembalikan mereka ke dunia nyata.
“Encik,
cik… satu pesanan yang sama ke?” Tanya pekerja McDonald’s berkenaan.
“Bukan.” Jawab Mazidah.
“Ya.”
Fahem memberikan jawapan serentak. Pekerja tadi semakin bingung.
“Bukan.
Berlainan order. Makan sini ya, dik.”
Mazidah memutuskan. Pekerja tadi terus mengangguk. Sementara menunggu pesanan
Mazidah sampai, pekerja tadi mengambil pesanan Fahem pula.
“Kenapa
tak sudi saya belanja awak?” soal Fahem. Mazidah hanya buat tidak tahu.
“Sayang…
I’m talking to you!” Fahem geram
dengan sikap Mazidah. Baru sahaja Fahem ingin menambah kemarahannya, pesanan
mereka sampai.
Sebelum
kembali ke mejanya, Mazidah sempat menyatakan sesuatu. “I’m not your sayang anymore!” Fahem terkedu dengan ayat tersebut.
NUR SUMAYYAH sibuk menyemak Kertas Ujian
Percubaan Pendidikan Islam SPM. Menggeleng kepalanya tatkala membaca jawapan
para pelajar, terutamanya di bahagian tajwid. Hampir sahaja dia ingin mengilai
mengalahkan pontianak. Mana tidaknya… jawapan yang sepatutnya Mad Aridh
Lissukun, bertukar menjadi Mad Arif Sukun. Tetapi itu masih boleh diterima
lagi. Jawapan yang paling kelakar… Mat Sukun! Astaghfirullahalazim… mengucap
panjang Nur Sumayyah sambil menahan perut akibat terlampau banyak ketawa.
Fahem
malas mengambil tahu apa sebab isterinya tertawa hingga sakit perut. Otaknya
masih memikirkan tentang kejadian di McDonald’s tadi. Wanita itu sedikit
cengkung, namun keanggunannya tetap seperti dahulu. Fahem akui, dia masih
menyayangi wanita itu, dan masih berharap dia akan menjadi isterinya.
Lamunannya berkecai tatkala mendengar isterinya mengaduh kesakitan. Lekas-lekas
dia mendapatkan isterinya di meja kerja.
“Sayang
ni, ingat-ingatlah sikit anak dalam perut tu. Ini tak, ketawa tak ingat dunia.
Kan, dah sakit perut tu,” bebelnya sambil memimpin Nur Sumayyah menuju ke
katil.
Nur
Sumayyah hanya tersenyum mendengar bebelan suaminya. “Abang ni, risau tak
bertempat sangat,” rungut Nur Sumayyah.
“Banyaklah
Sumayyah punya tak bertempat. Karang kalau awak dah terberanak kat sini jugak,
siapa nak jadi bidannya? Abang jugak!” Fahem masih belum berhenti membebel.
Dia
memimpin isterinya hingga ke katil dan mendudukkan wanita itu. Nur Sumayyah
sudah kaget.
“Abang
nak buat apa ni? Sumayyah tak habis kerja lagi ni.” ujar si isteri sambil cuba
bangun namun Fahem pantas menekan bahu isterinya agar duduk semula.
“Sumayyah
baring. Abang nak sapu Bio Oil kat perut tu.” Arah Fahem dengan tegas.
“Kejap
lagilah, bang. Sumayyah nak habiskan tanda kertas. Nanti Sumayyah tidur…”
“Tak
ada, tak ada… sekarang jugak. Gelak dah banyak-banyak, sakit nanti perut tu.
Tiap-tiap malam nanti menggaru perut saja!”
BANDAR MELAKA
DIA sedang membelek satu persatu gambar yang
bersepah di atas meja kopi itu. Hatinya puas dengan kualiti gambar-gambar
berkenaan. Lebih puas lagi apabila melihat wajah-wajah yang terpapar di dalam
gambar tersebut. Hatinya mula bersorak gembira. Dia tahu, tidak lama lagi
misinya akan berjaya.
Dia…
seorang wanita campuran Yahudi-Amerika dan Melayu. Ayahnya, seorang lelaki
perantau. Dihalau oleh keluarga kerana cuba mengasaskan sebuah ajaran sesat.
Berkali-kali keluarganya cuba menariknya kembali ke pangkal jalan, namun…
pendiriannya tetap teguh dengan ajaran sesat tersebut. Di Amerika, dia
berkenalan dengan seorang wanita berdarah Yahudi-Amerika beragama Islam.
Tatkala itu, barulah dia tahu bahawa tidak semua Yahudi membenci umat Islam.
Atas dasar suka sama suka, mereka berkahwin. Perlahan-lahan, wanita itu
menariknya semula ke pangkuan agama Islam. Pernah juga isterinya memujuknya
untuk pulang ke kampung, namun dia tidak mengendahkannya.
Wanita
itu ketawa dengan senang hati. Dia mahu memastikan hasil dari kerjanya ini,
akan memuaskan hatinya dan memberikan ‘kemenangan’ mutlak kepadanya. Jika dia
tidak dapat, orang lain juga tidak akan dapat! Tak lama kemudian, telefon
bimbitnya menjerit minta diangkat. Lalu lekas dia menjawab panggilan tersebut.
“Dah
sedia?” soal pihak sebelah sana.
“Aku
dah lama bersedia dengan semua ni. Cuma aku nak cari masa yang lebih sesuai.”
Jawabnya.
“Bila?”
“Kau
akan tahu kemudian.” Klik. Panggilan ditamatkan. Sekali lagi, pandangannya
tajam menikam wajah lelaki yang tersenyum di dalam gambar itu. Sungguh, dia
tidak sabar menunggu detik kejatuhan lelaki itu.