WAKE UP CALL 37
MASA pantas berlalu, tanpa menunggu sesiapapun. Pejam celik, pejam
celik, usia perkahwinan Fahem dan Nur Sumayyah sudah mencecah ke lapan bulan.
Pelbagai rintangan yang mereka tempuhi. Alhamdulillah, hingga ke hari ini
mereka masih lagi suami isteri. Fahem masih terkejut dengan keajaiban yang
dicipta bersama isterinya di dalam rumahtangga mereka.
Jari-jemari yang dari
tadi mengetuk papan kekunci komputer bimbit itu terhenti seketika. Dia merenung jam
tangan yang tersangkut elok di tangan kirinya. Masih ada 15 minit sebelum jam
satu tengah hari. Dia mengurut belakang tengkuknya yang terasa lenguh.
Dipicit-picit sedikit bahunya agar reda sedikit rasa lenguh tersebut.
Baru sahaja dia ingin shut down laptopnya, telefon bimbitnya
menjerit minta diangkat. Tatkala melihat nama yang tertera di skrin, dia
tersenyum kecil.
Selepas memberikan
salam…
“Abang, datang ke
sekolah sekarang. Perut Sumayyah sakit sangat ni, bang!” tanpa menjawab salam
si suami, Nur Sumayyah terus memberitahu tujuan sebenarnya menelefon.
“Kenapa?” soal Fahem.
“Sumayyah rasa macam
dah nak bersalin.” Jika tadi Nur Sumayyah tidak menjawab salamnya, kini Fahem
pula terus mematikan talian telefon. Lekas-lekas dia menyimpan telefon
bimbitnya di dalam kocek sebelum keluar dari pejabatnya lalu mengorak langkah
menuju ke meja setiausahanya.
“Saya ada kecemasan.
Isteri saya dah nak bersalin! Mungkin petang saya tak masuk. Nanti awak tolong
beritahu Tan Sri, okey,” Fahem berpesan sebelum dia berlari-lari keluar menuju
ke pintu utama.
Setiausahanya hanya
mengangguk-angguk bagaikan burung belatuk. Tatkala matanya terpandang kelibat
orang nombor satu Izzuddin Supplier Holdings, lantas dia menyampaikan pesanan
anak sulung lelaki yang sudah berusia itu.
PUTRA SPECIALIST HOSPITAL
FAHEM mengelus perlahan pipi Nur Sumayyah. Sungguh lena isterinya tidur.
Dia tidak mahu mengganggu. Perlahan-lahan, dia mengucup dahi si isteri. Biarlah
isterinya rehat sepuas-puasnya setelah berhempas-pulas dua jam lepas untuk
memberikannya dua orang putera sebagai penyeri hidup mereka.
Fahem keluar dari bilik
rawatan. Kelihatan emak dan abah mertuanya, serta kedua orang tuanya sedang
menunggu di luar bilik. Mereka berempat serentak bangun dan mendekati Fahem.
“Sumayyah macam mana?”
soal Rafeah. Dia tidak sabar ingin melihat cucunya.
“Ada, tengah tidur,”
jawab si menantu. Mereka berempat masuk ke dalam bilik dengan perlahan. Rafeah
dan Puan Sri Sharifah membelai-belai rambut Nur Sumayyah. Rafeah mencium pipi
kiri anaknya manakala besannya pula mencium pipi kanan.
Nur Sumayyah terjaga
tatkala Fahem tiba sambil menolak sebuah troli yang menempatkan kedua orang
anak kembarnya. Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin dan Abdul Ghani
menjengah-jengah ke dalam troli tersebut.
“Kembar ke?” soal
daddynya. Fahem mengangguk sambil tersenyum. Semua mata memandang Fahem.
“Subhanallah, budak ni!
Bertuah punya anak! Dia tak cakap pun anak kembar!” balas Puan Sri Sharifah
sambil menatap geram wajah anaknya.
Fahem hanya tersengih.
Lantas dia menapak ke sisi katil sementara dua pasang suami isteri itu sibuk
mengerumuni cucu-cucu mereka.
“Abang dah iqamatkan
budak-budak tu?” soal Nur Sumayyah. Fahem mengangguk. Alhamdulillah… sambut Nur
Sumayyah dalam hati.
“Abang dah fikirkan
nama untuk anak-anak?” soal si isteri lagi.
Fahem mengangguk lagi.
“Yang abang, namanya Tuan Farhan Izzuddin. Yang adik pula, Tuan Fahmi Izzuddin
namanya. Okey tak nama tu?” tanya Fahem.
Dengan lemah, Nur
Sumayyah tersenyum. “Farhan Izzuddin – kegembiraanku, kemuliaan dan kekuatan
agama. Fahmi Izzuddin – kefahamanku, kemuliaan dan kekuatan agama. Okey jugak
tu. Pandai abang letak nama yang elok untuk anak-anak kita.” Sempat Nur
Sumayyah memuji suaminya. Fahem hanya tersenyum kecil.
“Sumayyah dah tengok
anak-anak?” soal Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin.
Nur Sumayyah tersenyum
kecil sambil mengangguk. “Sekejap saja, daddy. Lepas bersalin, diorang
bersihkan baby berdua ni. Lepas anak-anak
menyusu dalam setengah jam, Sumayyah dah tidur terus.” Jawabnya.
“Abah tengok, cucu-cucu
abah ni… muka handsome macam Fahem.
Tapi hidung ikut Sumayyah, kemek. Mulut pulak, muncung aje.” Sakat Abdul Ghani.
Rafeah menyiku sedikit pinggang suaminya.
“Hidung Sumayyah kemek
sebab ikut hidung abahlah ni!” geram Nur Sumayyah kerana abahnya suka
mengatakan hidungnya hidung kemek. Abdul Ghani tertawa dengan jawapan anaknya.
“Habis, mulut muncung
ikut mulut siapa pulak?” soal Abdul Ghani lagi. Tan Sri Tuan Haji Ahmad
Izzuddin dan Puan Sri Sharifah tidak dapat menahan gelak lagi. Fahem sudah
tersengih-sengih.
“Abang jangan nak lebih-lebih
ya! Tahulah masa saya mengandung Sumayyah, mulut saya selalu memuncung!” belum
sempat Nur Sumayyah menjawab, ibunya sudah memberikan jawapan bagi pihaknya.
Satu jelingan maut
Rafeah hadiahkan untuk suaminya. Abdul Ghani langsung tidak takut dengan
jelingan itu malah sempat lagi dia ketawa hingga lupa dunia.
“Awak tak bagi apa yang
dia idamkan ke, Encik Ghani?” soal Puan Sri Sharifah setelah ketawanya reda
sedikit.
“Bukan. Dia nak pergi
tengok wayang, cerita Hindustan. Saya dah berjanji nak bawa dia pergi. Last minute, tiba-tiba pulak ada
panggilan kerja. Bila dah jadi polis, Puan Sri tahu sajalah mana yang jadi
keutamaan. Tu yang sampai dah tua pun, mulut dia kekal muncung.” Panjang lebar
Abdul Ghani memberikan jawapan.
Kedua-dua besannya,
termasuk anak dan menantunya tergelak sakan mendengar jawapan polis pencen itu.
“Abah ni, ada-ada saja.
Fahem nak ke surau sekejap. Kejap lagi Fahem datang semula.” Beritahunya kepada
semua. Persoalan tentang muncung Rafeah terus mati.
NUR SUMAYYAH berpantang di rumah orang tuanya. Dia mahu berpantang di
rumahnya sendiri namun emak dan emak mertuanya lekas membantah. Keadaan
bertambah pening apabila kedua-dua wanita itu hampir bertekak untuk menjaga dia
berpantang nanti. Akhirnya, Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin meminta agar
isterinya mengalah memandangkan di rumahnya, ramai. Fateeha… jika memanggil
Zariff dan Afiq yang bersebelahan bilik sahaja, hingga ke kebun belakang suara
anak tunggal perempuannya itu boleh dengar. Di rumah besan mereka sunyi.
Amanlah sedikit bayi-bayi itu mahu tidur. Akhirnya kedua-dua wanita itu
mencapai kata sepakat. Apabila Nur Sumayyah mengandung kali kedua, dia akan
berpantang di rumah orang tua Fahem nanti. Begitulah penangan orang-orang tua
apabila mendapat orang baharu di dalam keluarga mereka!
“Assalamualaikum
anak-anak papa. Macam mana Farhan dengan Fahmi hari ni?” soal Fahem setelah
pulang dari kerja. Setelah tiga minggu kedua-dua anaknya itu menjengah dunia,
Fahem dapat melihat mereka lebih mengikut iras mukanya.
Nur Sumayyah tersenyum
sambil mencium tangan suami. “Abang nak air?” soalnya.
Fahem menggeleng. “Tak
apalah. Kalau nak abang boleh ambil sendiri.” Seboleh-bolehnya Fahem tidak mahu
Nur Sumayyah terlalu banyak bergerak. Dia mencium pipi kedua-dua anaknya itu.
“Abang dah nak mandi
ke?” soal Nur Sumayyah tatkala melihat Fahem membuka kemeja kerjanya dan
diletakkan di dalam bakul baju kotor.
Fahem mengangguk. Nur
Sumayyah bangun untuk mengeluarkan t-shirt
dan tracksuit dan diletakkan di
atas sofa. Kemudian dia menghulurkan tuala baharu kepada suaminya apabila
melihat Fahem mahu mengambil tuala yang sedia tersidai di tempat penyidai.
“Abang pakai tuala ni.
Sumayyah nak basuh tuala tu,” ujar Nur Sumayyah. Tanpa banyak soal Fahem
menghulurkan tuala di tangannya manakala tuala baharu di tangan isterinya
diambil. Fahem terus melangkah ke bilik air.
Lima belas minit
kemudian, Fahem keluar dari bilik air. Dia menyarung trascksuit serta t-shirt. Kemudian
Fahem melangkah ke meja solek dan berkaca di hadapan cermin. Menyisir rambut
dan kemudian mengenakan kopiah untuk menunaikan solat Asar. Selesai semua, dia
menyidai semula sejadah dan kopiah hitamnya diletakkan di atas meja solek.
Dari tadi Nur Sumayyah
memerhatikan tingkah suaminya. Dia merasakan yang dia mendapat semula Tuan
Fahem Izzuddin yang dikenalinya ketika di Mesir dahulu.
Fahem duduk di sebelah
isterinya. Dielus seketika tangan si isteri.
“Kenapa ni? Macam ada
masalah saja?” soal Fahem tatkala melihat wajah isterinya yang seakan-akan
keruh.
Nur Sumayyah tersenyum
kecil. “Tak adalah, pandai aje abang ni. Abang nak makan tak? Kalau nak makan,
Sumayyah siapkan,” ujar Nur Sumayyah. Fahem menggeleng.
“Tak apalah. Abang
makan malam karang. Dengan mak, abah, Sumayyah sekali,” balas Fahem. “Nak
jalan-jalan kat bawah tak?” sambungnya.
Nur Sumayyah mengangguk
namun seketik kemudian, dia teringatkan anak kembarnya.
“Diorang ni macam mana?
Karang kalau terjaga, melalak pulak.”
“Ya tak ya jugak.
Takkan sayang nak terperap dalam bilik ni saja? Hmm… ha… macam ni.”
Nur Sumayyah sedikit
terkejut tatkala suaminya menyebut ‘ha’ tadi. Lantas dia memukul sedikit bahu
suaminya.
“Abang ni, terkejut
anak ki..” belum habis ayatnya, Farhan sudah merengek-rengek. Fahem
tersengih-sengih bagai orang tidak bersalah.
“Lepas Maghrib nanti
kita bawa budak-budak ni turun bawah sekali. Biar dia dapat angin yang lain
pulak.” Nur Sumayyah mengangguk setuju.
Nur Sumayyah menjeling
seketika jam di dinding. 6.30 petang. Dia ingin mengelapkan badan kedua-dua
bayi dan menukarkan baju mereka. Fahem yang faham rutin setiap petangnya,
segera membantu. Seperti biasa, dia akan menyiapkan pakaian berlengan panjang,
barut, lampin pakai buang, sarung tangan dan kaki serta barangan-barangan bayi
yang lain seperti minyak, losyen dan bedak.
Selesai sudah kerja Nur
Sumayyah membersihkan anak-anaknya. Tanpa disedari, lagi setengah jam azan
Maghrib akan berkumandang dari surau di taman ini. Fahem segera mengambil
wudhuk dan duduk membaca Al-Quran di atas sejadah sementara menunggu azan.
BANDAR MELAKA, MELAKA
DIA nekad dengan keputusan yang diambil. Dia sudah tidak peduli jika dia
ditangkap polis sekalipun. Yang penting, hatinya benar-benar puas. Padanya,
jika dia tidak dapat lelaki itu, wanita lain juga tidak patut memiliki lelaki
itu. Walaupun lelaki itu sudah memberikan generasi baharu untuk orang tuanya,
dia tetap ingin menghalang lelaki itu dari menggapai bahagia.
Wanita itu menoleh ke
kiri, melihat salah seorang penyiasat peribadinya memasukkan gambar-gambar di
dalam sebuah sampul surat putih pos ekspres.
“Dah siap?” soalnya.
Lelaki yang berusi awal 30-an itu menganggukkan sedikit kepalanya. Dia menulis
nama penerima pada slip pos ekspres. Dia meletakkan nama palsu pada ruang
pengirim, tetapi meletakkan alamat kondominium Fahem sebagai alamat pengirim.
Selesai tugasnya, dia menyerahkan sampul pos ekspres tersebut kepada bosnya.
Wanita itu tersenyum gembira. Dia membelek-belek seketika bungkusan tersebut.
Setelah berpuas hati dengan nama dan alamat yang tertera pada slip pos ekspres
tersebut, dia menyerahkan semula benda itu kepada penyiasat peribadinya.
“Aku nak kau hantar ke
pejabat pos esok. Rasanya petang nanti ataupun lusa, dia akan dapat.” Arah
wanita tersebut. Lelaki itu mengangguk faham. Elok sahaja lelaki itu membuka
pintu bilik wanita tersebut untuk keluar, seorang lelaki keluar dari bilik air.
Dia memandang wajah teman wanitanya yang saban hari semakin cantik dan semakin
menggoda.
Dia memeluk wanita itu
dari belakang ketika wanita itu leka menikmati pandangan dari balkoni dalam bilik
utama tersebut.
“So, dah settle ke belum dendam you?” soal si
teman lelaki sambil menongkatkan dagunya pada bahu kanan wanita tersebut.
Wanita tadi tersenyum, lantas membelai pipi lelaki tersebut.
“I tak sabar nak tengok
reaksi isteri dia. Seorang ustazah… bila dia tahu the other side of her husband, mesti dia akan minta diceraikan.
Betul tak sayang?” tanya si wanita. Si teman lelaki yang dari tadi asyik
menikmati haruman pada tubuh wanita itu, mengangguk-anggukkan kepalanya bagai
burung belatuk.
“I don’t give a damn of what you feel. I just give a damn of…”
“Don’t worry, darling. I know where you just give your damn…”
lirikan mata wanita itu membuatkan teman lelakinya bertambah tidak keruan.
LEBUH AMJ, MELAKA
“AKU yakin, Zam. Inshaa ALLAH, jika betul niat kita, ALLAH akan
mempermudahkan segalanya.” Ucap Fahem dengan penuh yakin. Dia dan Nizam sedang
dalam perancangan untuk membina sebuah ladang buah-buahan di kampung neneknya.
Mereka berdua telah
membuat kajian. Fahem mendapati, hampir separuh daripada anak-anak muda di kampung
itu langsung tiada pekerjaan. Hanya tahu melepak pagi, petang, siang dan malam.
Lebih teruk, ada seorang dua umurnya hampir ke four series, tetapi masih sibuk dengan gitar cabuk dan melepak
bersama anak-anak muda yang lain di tepi-tepi jalan. Mengganggu wanita-wanita
kampung. Emak bapak di rumah, tidak diambil peduli. Hanya tahu jalan menuju
pulang ke rumah apabila perut berbunyi dan rasa mengantuk mula menguasai diri.
“Buah apa yang kita nak
tanam?” soal Nizam sedikit bingung. Fahem tersenyum kecil. Dia tahu Nizam faham
sangat dengan projek mereka. Entah kenapa, hari ini Muhammad Adham Nizam
menjadi sebangang-bangang manusia!
“Zam, kan kita dah
bincang tentang perkara ni. Part mana
lagi yang kau tak faham?” bengang pula Fahem dengan telatah bakal adik iparnya
ini.
Nizam hanya
tersengih-sengih bagai orang sengal. Baru sahaja dia ingin membuka mulut untuk
mempertahankan dirinya, tiba-tiba sebuah kereta melanggar belakang kereta
Fahem.
“Celaka!” Fahem menyumpah.
Walaupun dia berkaca mata hitam di waktu tengah hari itu, matanya cekap
menangkap nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kereta yang melanggarnya.
Nizam yang terkejut sama turut memandang kereta yang semakin lama semakin
mengecil dan menghilang dari pandangannya.
Lantas Faham keluar dan
menuju ke belakang keretanya. Bumper keretanya
remuk pada bahagian tengah. Hatinya menyumpah-nyumpah lagi pada pemandu
kenderaan yang melanggarnya tadi.
Tidak sampai lima
minit, sebuah BMW X5 muncul di hadapan Fahem. Razif dan Kamal turun dari
kenderaan tersebut.
“Bawa kereta aku ni ke
bengkel. Lepas tu, kau tolong siasat kereta ni. MBY 105, Honda Accord warna
hitam. Aku nak tahu siapa pemilik dia. Kau siasat sekali siapa yang berani
sangat nak bermusuh dengan aku! ASAP!” sekali harung Fahem memberi arahan.
Razif mengangguk faham. Dia sebagai PA kepada lelaki itu, semua arahan mesti
dipatuhinya.
“Siapa berkawal kat
rumah aku?” soal Fahem. Walaupun Ozana Villas menyediakan perkhidmatan
pengawal, dia tetap curiga jika rumahnya diintip musuh-musuhnya. Oleh itu, dia
menyuruh Razif dan Najib tinggal di situ seketika. Dia cuma menjenguk pada
setiap hujung minggu sahaja.
“Najib dan Azmi.” Jawab
Razif, ringkas dan padat. Fahem mengangguk faham. Dia percaya pada Razif seratus
peratus. Dia kembali semula ke keretanya untuk mengambil beg kerjanya serta
beberapa buah fail. Kemudian dia mengajak Nizam untuk ke keretanya yang lagi
satu. Razif dan Kamal segera meluru ke kereta yng sudah dicium belakangnya itu.
No comments:
Post a Comment