REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

Sunday 18 January 2015

PASCA KES ALTANTUYA

Azilah, Sirul Azhar dihukum gantung

PUTRAJAYA, 13 Jan. - Perjalanan kes berprofil tinggi berkaitan kes pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu tiba ke penghujungnya apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh model sambilan itu.
 
Ketetapan tersebut dicapai hasil keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Kuorom berkenaan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati setelah mereka didapati bersalah pada 9 April 2009.

Mahkamah Tertinggi Negara menyampaikan keputusan tersebut tanpa kehadiran Sirul Azhar, 44 walaupun kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu didakwa bersama-sama membunuuh Altantuya yang merupakan seorang penterjemah Mongolia.

Selesai keputusan dibaca dalam tempoh kira-kira 40 minit, panel itu memaklumkan bahawa waran tangkap dan perintah komital dikeluarkan kepada Sirul Azhar ekoran ketidakhadirannya di mahkamah.

Azilah, 39 tidak memberikan sebarang reaksi ketika keputusan diumumkan dalam mahkamah yang dipenuhi orang awam dan petugas media. Dia kemudian berbincang dengan para peguam yang mewakilinya sebelum diiringi oleh polis mahkamah untuk dibawa ke Penjara Kajang.

Azilah menutup mukanya ketika dibawa oleh anggota polis ke Penjara kajang setelah Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh Altantuya di Putrajaya, semalam.

Sebelum itu, Azilah yang berpakaian sut hitam dilihat memasuki kamar bicara kira-kira pukul 9 pagi melalui pintu bahagian dalam yang hanya boleh dilalui oleh kakitangan mahkamah dan menuju ke galeri awam sementara menanti kesnya dipanggil.

Dia yang kini digantung perkhidmatan kerana menunggu rayuan itu dilupuskan kelihatan bersalam-salaman dengan beberapa individu yang hadir mendengar keputusan.

Azilah (responden pertama) dan Sirul Azhar (responden kedua) disabitkan membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu diantara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Bukti keterangan kes menyatakan, Altantuya sama ada dibunuh dengan peledak atau dibunuh terlebih dahulu sebelum diledakkan menyebabkan tubuhnya berkecai sehingga cebisan daging dan tulangnya bertaburan.

Ketika mahkamah bersidang pukul 9.19 pagi, Timbalan Peguamcara Negara 1, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memaklumkan bahawa notis pemberitahuan yang mengkehendaki Sirul Azhar hadir ke mahkamah mendengar keputusan rayuan tidak dapat diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop meneruskan penyampaian keputusan tanpa kehadiran Sirul Azhar.

Hakim Suriyadi sebelum membacakan ringkasan penghakiman bertulis memaklumkan, beliau akan memberi tumpuan kepada alasan penghakiman bagi menjimatkan masa mahkamah kerana penghakiman penuh mempunyai 88 mukasurat.

Berikut adalah ringkasan alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan pendakawa raya terhadap pembebasan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

  • Pembelaan alibi Azilah merupakan penafian semata-mata kerana tidak mungkin dia berada di Bukit Aman atau Wangsa Maju pada hari kejadian kecuali di lokasi-lokasi panggilan dibuat.
  • Pembelaan alibi Azilah bahawa dia tidak berada di Puncak Alam iaitu tempat kejadian pembunuhan Altantunya, sebaliknya berada di Bukit Aman bersandarkan kepada diari stesen (D248), tidak diterima kerana dokumen itu hanya boleh disahkan oleh pembuatnya, bukan pegawai penyiasat.
  • Senarai panggilan telefon bimbit yang dibuat oleh Azilah tidak satu pun mencatatkan panggilan dibuat dari Bukit Aman atau Wangsa Maju seperti yang didakwanya. Sebaliknya panggilan dibuat dari Pekan Subang, Kampung Melayu dan Puncak Alam dan ketiga-tiga lokasi itu terletak jauh dari Bukit Aman.
  • Polis tidak mengetahui lokasi pembunuhan sebenar Altantuya jika tidak ditunjukkan oleh kedua-dua responden. Azilah dan Sirul Azhar membawa polis ke tempat kejadian pada masa yang berlainan dan tempat tersebut merupakan kawasan terpencil di atas bukit iaitu lokasi-cebisan-cebisan tubuh manusia kemudiannya ditemui.
  • Kedua-dua responden merupakan anggota UTK yang tidak mudah diperlekehkan selain tiada bukti keterangan yang menunjukkan mereka diperdaya atau didera ketika siasatan.
  • Sirul Azhar tidak menjelaskan di mahkamah berhubung penemuan barang kemas milik Altantuya iaitu sepasang anting-anting, sebentuk cincin emas dan seutas jam tangan jenama 'Larmens' pada jaket hitam dalam almari di rumahnya.
  • kegagalan menemukan SMS di antara DSP Musa Safri, Abdul Razak dan Azilah tidak menimbulkan ketidakadilan terhadapa responden pertama kerana Musa tidak pernah mengarahkan Azilah membantu Abdul Razak melainkan hanya diarah mengadakan pertemuan dengannya. Azilah bertindak atas budi bicara dan kewarasannya sendiri.
  • Niat bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan telah dibuktikan dalam tuduhan kerana kedua-dua responden pertama kali dilihat di Hotel Malaya pada 18 Oktober 2006 melalui CCTV serta di rumah Abdul Razak keesokannya.
  • Selipar yang mempunyai kesan darah Altantuya dijumpai dalam kereta Sirul Azhar dan penemuan barang kemas dalam jaketnya membawa kesimpulan bahawa barang-barang itu diperoleh dari mangsa dari tempat kejadian di Puncak Alam.
  • Senarai panggilan menunjukkan Azilah membuat panggilan dari Puncak Alam menyimpulkan bahawa dia berada di tempat kejadian bersama-sama Sirul Azhar. Kereta Sirul Azhar digunakan untuk membawa mereka bertiga ke Puncak Alam.
  • Pembelaan Sirul Azhar dari kandang tertuduh tidak membantu kerana keterangannya tidak selari dengan bukti keterangannya yang lebih kukuh di mahkamah.
  • Mahkamah tidak mempercayai pembelaan Sirul Azhar yang menyatakan penglibatannya berakhir selepas dia meninggalkan Altantuya bersama Azilah dalam sebuah kereta di hadapan rumah Abdul Razak.
Azilah dan Sirul Azhar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Azilah diwakili oleh peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar manakala Sirul Azhar oleh Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Rezua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.


                                 C/Insp. Azilah Hadri        Kpl. Sirul Azhar Umar

Inilah perngakahiran kisah pembunuhan Altantuya. Sejujurnya, saya benar-benar kasihan dengan dua orang anggota polis ni. Kasihan dengan keluarga mereka, terutama pada anak Sirul. Anaknya pernah menceritakan dalam suratkhabar bahawa dia diejek sebagai anak pembunuh oleh rakan-rakan di sekolah. Bayangkanlah keseksaan yang terpaksa ditanggung oleh anaknya itu.

Bersyukurlah kepada ALLAH kerana mereka diberikan kebebasan sementara. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menggunakan kebebasan tersebut untuk membahagiakan dan menggembirakan keluarga. Yang paling penting, agar mereka segera mengerjakan taubat dan kembalilah ke pangkal jalan.

Kita tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Hanya mereka, Altantuya dan beberapa individu terlibat sahaja yang tahu apa sebenarnya terjadi pada malam itu.

Ada beberapa perkara yang boleh saya kupas di dalam kes ini.
  • Saya dapat merasakan yang mereka berdua sebenarnya adalah kambing hitam dalam kes ini.
  • Mereka bukannya bodoh untuk mengambil tindakan sendiri dengan sewenang-wenangnya walaupun di atas kapasiti mereka sebagai anggota polis.
  • Mungkin ada penglibatan pihak-pihak lain. Jika tidak, takkanlah Sirul mengatakan pada ibunya bahawa tindakan yang dilakukannya atas arahan seseorang dan dia terpaksa mengikutnya
  • Kemungkinan keselamatan keluarga mereka diugut sehingga menyebabkan mereka TERPAKSA mengambil keputusan begitu, memang ada.
  • Azilah dan Sirul langsung TAK MENGENALI Altantuya. Dengan bahasa mudah, wanita itu tiada kaitan langsung di dalam kehidupan mereka. Jadi, tiada sebab untuk mereka mengebom wanita tersebut tanpa alasan yang munasabah. Lainlah kalau Altantuya pernah ada hubungan antara mereka, atau fitnah mereka ke, apa ke.. lepas tu akibat terlampau marah, Altantuya dibunuh dengan cara begitu. Ini, jangankan ada hubungan, entah-entah padang sebelah mata pun tidak! Maklumlah polis, besar mana sangat gajinya...
  • Kenapa pihak pendakwaan langsung tak membuat rayuan bila Razak Baginda dibebaskan?
  • Kemungkinan mereka diupah
  • Berkenaan bom C4, macam mana benda tu boleh terlepas? Tetapi mereka sebagai anggota UTK mungkin pandai buat bom sendiri.
Sebenarnya, banyak lagi kemungkinan yang ada. Namun, Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman. Siapalah kita untuk menentang keputusan tersebut. Kepada mereka berdua, tabah dan sabarlah dengan dugaan ALLAH. Hadapi semua ini dengan penuh ketenangan.
 
Kepada bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev, akhirnya keadilan berpihak kepada anda. Saya turut bersimpati dengan nasib yang menimpa anak anda. Walaupun dia bukan Islam, walaupun saya belum berkahwin, tetapi saya tahu kehilangan seseorang yang kita sangat sayangi, terutamanya dengan cara yang penuh tragis seperti ini sungguh menyayat hati. Semoga anda menempuh hari mendatang dengan tabah.



Artikel berkaitan:

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ibu-doakan-sirul-azhar-pulang-1.350693

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

http://malaysianreview.com/98118/azilah-tak-nak-lari-dari-hukuman-kata-bekas-tunang/

http://www.sinarharian.com.my/semasa/sirul-ke-australia-oktober-lepas-1.350634

http://www.sinarharian.com.my/politik/keluarga-sirul-harap-tiada-lagi-umpat-keji-1.195261

No comments:

Post a Comment