REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

Thursday 30 July 2015

WUC 40


           

WAKE UP CALL 40

 

BANDA HILIR, MELAKA

 

SUDAH lama Fahem tidak menjengah syarikat baharunya ini. Sibuk mengendalikan banyak perkara membuatkan Berkat Travel & Tours Sdn. Bhd. terabai. Senyuman manis diberikan kepada staf yang memandangnya.

            “Assalamualaikum, Tuan Fahem.” Sapa beberapa orang staf. Fahem menjawab seadanya dengan senyuman manis.

            Masuk sahaja ke dalam biliknya, dia merehatkan diri seketika. Merenung permukaan meja yang semak dengan segala macam jenis timbunan fail.

            Come on, Fahem Izzuddin! All out kali ni, all out!

            Lupakan seketika segala masalah peribadi.

            Tumpukan pada kerja, pasti keresahanmu menghilang.

            Fahem cuba menimbulkan kata-kata semangat di dalam dirinya. Dia tahu kemampuan dirinya. Tatkala dia mula sibuk dengan bebanan kerja, segala masalah akan hilang.

            Fail putih yang bertimbun diambil satu persatu. Tatkala dia membelek-belek fail tersebut, pintu bilik diketuk.

            “Masuk.”

            “Assalamualaikum, Tuan Fahem.” Haji Malek memberikan salam sebelum melangkah masuk.

            “Waalaikumsalam, Haji. Silakan duduk.” Fahem mempelawa dengan senyuman manis.

            Haji Malek duduk di hadapan Fahem. “Anak-anak dengan isteri macam mana, Tuan Fahem? Sihat?” soalnya sekadar berbasa-basi sebelum memulakan agenda utama.

            “Alhamdulillah sihat, Haji.” Ringkas jawapan Fahem.

            “Tuan Fahem, saya nak bentangkan tentang keadaan syarikat sepanjang ketiadaan Tuan Fahem.”

            Fahem mengangguk memberikan kebenaran.

            Haji Malek mulakan agenda pada hari tersebut dengan siasatan polis terhadap syarikat mereka yang digeledah. Pegawai Penyiasat (IO), Inspektor Bakardin telah menjalankan siasatan. Mereka mendapati bahawa kumpulan-kumpulan gangster yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Haji Malek turut diberitahu bahawa motif utama mereka adalah ingin menghapuskan perniagaan orang-orang Melayu di sekitar kawasan ini

            “Haji, ehemm… sebenarnya saya ada satu benda penting nak diberitahu pada Haji,” Fahem sudah berkira-kira untuk menceritakan hal sebenarnya.

            “Apa dia, Tuan Fahem?” Haji Malek memfokuskan telinganya.

            “Sebenarnya, itu hanya motif sampingan. Motif utama mereka, mereka adalah musuh saya.” Terbeliak mata Haji Malek.

            “Maksud Tuan Fahem?” dia masih kurang jelas.

            Fahem mula menceritakan tentang penglibatannya di dalam dunia mafia. Ternganga mulut Haji Malek mendengar cerita Fahem.

            “Tapi Haji jangan risau. Saya tak terlibat langsung dengan perniagaan tiga serangkai – judi, dadah, jual wanita.” Tambah Fahem apabila dia melihat wajah Haji Malek yang sudah keruh.

            “Jadi, Tuan Fahem agak, ni semua kerja musuh-musuh Tuan Fahem?” soal Haji Malek untuk mendapatkan kepastian. Fahem mengangguk.

            “Saya dah beritahu polis. Dan mereka pun dah soal siasat saya.” Suasana sunyi seketika.

            “Okey. Hal-hal yang lain?” soal Fahem. Haji Malek terus membentangkan segala laporan kerja.

            “Seperti yang Tuan Fahem minta, saya dah arahkan Bahagian Pengurusan Teknologi untuk updatekan laman web kita. Saya juga ada arahkan kepada mereka supaya membuka akaun Facebook dan Twitter supaya lebih mudah orang mengenali Berkat Travels & Tours Sdn. Bhd.

            Berkenaan kiosk yang tuan cadangkan, beberapa kakitangan kita dah survey tempat dan akan memulakan operasinya dalam masa seminggu ini. Mudah-mudahan sambutan pada kiosk-kiosk tersebut memberangsangkan.

            Tempat-tempat pelancongan, saya dah tambah. Daripada 10 buah negara, saya dah tambah dan menjadi 17 buah negara. Saya dah buat short list untuk senarai-senarai tempat tersebut.” Haji Malek menghulurkan sebuah fail berwarna hitam yang mengandungi tempat-tempat menarik yang telah diselidik olehnya.

            Fahem membelek fail-fail tersebut. Seketika kemudian, dia mengangguk-anggukkan kepala, berpuas hati dengan kerja-kerja yang telah Haji Malek lakukan.

            “Okey, bagus sekali kerja-kerja yang Haji lakukan sepanjang ketiadaan saya. Sebelum saya terlupa, kalau boleh saya nak kita iklankan pakej-pakej syarikat kita di media-media elektronik, media cetak, poster dan… segala macam medium yang bersesuaian. Kalau banyak untung syarikat, Inshaa-ALLAH, banyak bonus yang kakitangan boleh dapat untuk hujung tahun nanti.” Ujar Fahem sambil tersenyum kecil. Haji Malek mengangguk-angguk.

            “Ada apa-apa lagi ke, Tuan Fahem? Saya ada kerja nak diselesaikan,” Haji Malek bertanya sebelum meminta diri. Fahem berfikir seketika.

            “Saya rasa nak buat mesyuarat dengan semua kakitangan tapi, nantilah saya fikirkan bila tarikh yang sesuai.”

            “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu ya, Tuan Fahem.” Haji Malek meminta diri. Fahem mengangguk, membenarkan.

 

JUSCO FOOD COURT, AYER KEROH

 

“BETUL awak dah cakap dengan dia, Razif?” untuk kali entah ke berapa, jam tangan pemberian Fahem dikerling lagi. Sudah 10 minit melepasi waktu yang dijanjikan.

            “Betul, Puan Sumayyah. Saya dah cakap dengan dia. 11.30 pagi di Food Court Jusco Ayer Keroh.” Jawab Razif. Mereka menunggu lagi. Nur Sumayyah sudah mula gelisah.

            Razif dan Najib saling berpandangan. Setahu mereka, orang yang ditunggu itu selalunya menepati masa. Tidak pernah lewat, tetapi selalu awal.

            “Maaf, lambat.” Seorang wanita berdiri di sisi meja yang diduduki mereka. Razif bangun dan menarik sedikit kerusi di sebelah Nur Sumayyah, mempersilakan Mazidah duduk.

            “Terima kasih.” Ucap Mazidah kepada Razif sambil tersenyum. Lelaki itu sungguh gentleman. Fahem yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kekasihnya, tidak pernah menarikkan kerusi untuknya. Seingatnya, sekali sahaja CEOnya itu berbuat sedemikian, itupun ketika date pertama mereka. Lepas daripada itu… hmm… haram!

            “Maaf, ustazah. Saya dah keluar awal tadi, tapi sebab ada accident masa nak ke sini, tu yang buat lambat. Lepas tu pula, parking kat sini kebanyakannya penuh. Tu yang lewat.” Mazidah menjelaskan sebab-musabab dia lambat.

            Nur Sumayyah hanya tersenyum. “Tak apalah, saya tak kisah. Akak lambat 10 minit je.”

            “Razif, awak tolong order air dengan makanan.” Nur Sumayyah menghulurkan sekeping not 50 ringgit kepada pembantu suaminya itu. Razif mengambil pesanan seorang demi seorang. Dia dan Najib melangkah ke kaunter air.

            “Akak sihat?” soal Nur Sumayyah.

            “Sihat, Alhamdulillah. Sumayyah sihat? Yalah, masa Sumayyah bersalin hari tu, akak tak sempat nak lawat. Anak-anak sihat tak?” soal Mazidah.

            “Alhamdulillah, semua sihat walafiat kak,” Najib tiba dengan sedulang air di tangan. Kemudian dia beredar semula untuk membantu Razif membawa makanan yang ditempah.

            “Jemput makan semua,” pelawa Nur Sumayyah. Suasana sunyi seketika. Masing-masing berselera menikmati makanan.

            “Akak ada teman lelaki?” soal Nur Sumayyah.

            Suapan Mazidah terhenti seketika. Lain macam je soalan ustazah muda ni?

            Mazidah pura-pura ketawa kecil. “Akak ni tak secantik Sumayyah. Siapalah yang nak akak,” Mazidah merendah diri. Sekilas, dia menjeling Nur Sumayyah yang bertudung bawal labuh.

            “Apa pulak akak tak cantik? Cantik apa… kulit putih, muka nampak natural, lembut saja bila bercakap. Memang kalau sekali lelaki pandang, terus terpikatlah.” Makin melambung pujian yang Nur Sumayyah hamburkan.

            Mazidah hanya tergelak lagi. Tak ada maknanya sekali pandang terus terpikat! Fahem dulu, ketika di terlanggar motor lelaki itu, tak ada pula Fahem melopong melihat wajahnya sehingga meleleh air liur! Malah, dia dijerkah oleh lelaki itu!

            “Ada-ada saja Sumayyah ni. Sampai ke situ pulak perginya! Haa… ada apa nak jumpa akak ni?” soal Mazidah. Dari tadi dia ingin bertanya.

            Nur Sumayyah menyudu kuah laksanya sehingga habis. Kemudian, dia menyedut sedikit jus mangganya, sekadar membasahkan tekak. Akhir sekali, dilap pula bibirnya sebelum dibuang tisu terebut ke dalam mangkuk.

            “Saya nak buat tawaran dengan akak.” Nur Sumayyah memulakan misinya.

            “Tawaran apa?” Mazidah mengerutkan dahi. Sepintas, dia mengerling Razif dan Najib. Mereka hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Walhal mereka tahu tentang hal tersebut!

            Nur Sumayyah merenung wajah lembut Mazidah. “Jadi bini Abang Fahem.” Mazidah tercengang! Jatuh habis rahangnya!

            “Apa maksud Sumayyah, akak tak faham!” dia tetap tidak faham walaupun dia faham maksud empat perkataan tersebut.

            “Kahwin dengan Abang Fahem, jadi bini nombor dua dia.”

            Mazidah tergelak kecil, ingin menutup kegalauan di dalam hati.

            “Sumayyah tahu, akak masih cintakan Abang Fahem, betul tak? Lagipun tadi akak cakap, akak tak ada teman lelaki. Mesti boleh aje kan..”

            “Tapi Sumayyah…”

            “Akak fikirlah dulu. Nanti hujung minggu ni Sumayyah datang rumah akak.”

            “Sumayyah, akak tak mahu ganggu rumahtangga Sumayyah dengan Fahem. Akak tengok, kau orang dah cukup bahagia. Tapi sekejap… kenapa pulak Sumayyah nak akak kahwin dengan Fahem?” persoalan tersebut bermain di fikiran Mazidah sejak tadi.

            Nur Sumayyah hanya tersenyum kecil. “Semua misteri telah dibongkari.” Nur Sumayyah meniru tagline Hajime Kindaichi, sebuah watak di dalam sebuah komik penyiasat remaja yang berasal dari Jepun.

1 comment: